Biodata Ahli Panel


 

Pengucap Utama : Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul

Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul adalah tenaga akademik dari Universiti Malaysia Sabah dan ketika ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Sains (Universiti Malaya) dalam bidang Geografi Fizikal; Sarjana Sastera (Universiti Kebangsaan Malaysia) dalam bidang Geografi Pemikiran; dan PhD (University of East Anglia) dalam bidang Sains Atmosfera. 

Selain menulis karya akademik dalam bentuk buku dan artikel untuk jurnal-jurnal antarabangsa berimpak tinggi; beliau juga menulis karya bukan akademik yang merangkumi rencana umum, kritikan sastera, dan penulisan kreatif khususnya bagi genre puisi. Beliau mempunyai tiga buah buku akademik yang diterbitkan oleh universiti; tiga buah buku kumpulan puisi yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara; dan sebuah buku umum yang diterbitkan sempena PBAKL 2017 oleh penerbit indie (Studio Anai-Anai) berjudul "Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia".

Beliau pernah memenangi beberapa anugerah dan hadiah dalam bidang penulisan dan penyelidikan antaraya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 2012 dan 2013, Hadiah Sastera Sabah bagi tahun 2012-2015 dan juga Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015. Selain itu, beliau turut menerima anugerah Penulis Akademik Prolifik UMS 2014 dan merupakan pemenang 20 pingat inovasi dan penyelidikan di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa (2008-2015)

Pengerusi Panel : Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar 

Profesor Dr. Ahmad Zaki bin Abu Bakar di lahirkan pada 29 Mei 1956. Beliau merupakan anak kelahiran Alor Setar, Kedah. Kini, beliau sedang berkhidmat sebagai ketua pegawai maklumat, Majlis Profesor Negara, Jabatan Perdana Menteri. Beliau memiliki pengalaman yang cukup luas dalam bidang akademik, kepakaran teknikal, penyelidikan dan juga kepimpinan universiti. Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang penulisan kreatif dan bahasa. Prof. Dr. Ahmad Zaki juga pernah mengendalikan ruangan komputer surat khabar Utusan Malaysia antara tahun 1987-1991 dengan nama pena Tuk Pepijat. 

Beliau diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai penulis novel siber bahasa Melayu yang pertama melalui novel pertama yang bertajuk Dendam Siber. Novel keduanya, Wira Persona Avatari pula menang tempat kedua anugerah novel remaja Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank 1999. Selain itu, puisi Cyberfriendship nukilan Prof. Dr. Ahmad Zaki turut tersenarai sebagai antara 33 puisi terbaik dunia. 

 Isa Kamari 

Isa Kamari telah menerbitkan 9 buah novel melayu : Satu Bumi, Kisawah, Tawassul, Menara, Atas Nama Cinta, Memeluk Gerhana, Rawa, Duka Tuan Bertakhta, dan Selendang Sukma. Lapan daripadanya telah di terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris kecuali Selendang Sukma. Dua daripadanya, Satu Bumi dan Rawa telah diterjemahkan kedalam Bahasa Mandarin, manakala Tawassul diterjemahkan ke bahasa Urdu serta Hindi dan Menara telah ditejemahkan ke dalam bahasa Turki. Novel Inggeris pertamanya yang berjudul Tweet, telah di terbitkan pada tahun 2016. Beliau juga telah menerbitkan dua kumpulan puisi Sumur Usia serta Munajat Sukma yang juga telah di terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Selain itu, beliau juga menerbitkan kumpulan  cerpen Sketsa Minda dan kumpulan skrip teater, Pintu. Beliau telah menerima anugerah Penulis Asia Tenggara pada tahun 2006, dan tahun berikutnya, beliau menerima Pingat Budaya Singapura 2007 dan Anugerah Tun Sri Lanang pada tahun 2009

 

Abdul Razak Panaemalae  

Abdul Razak Panaemalae dilahirkan di Narathiwat, Thailand Selatan. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Songkhlanakharin (Prince Of Songkla University) Kampus Pattani, Thailand (1987-1990) dan Sarjana Pengajian Melayu (2000 - 2004) dalam bidang kesusasteraan Melayu dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian  peringkat PhD di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa-bahasa Timur dan Thai, Fakulti Kemanusiaan  dan Sains Sosial, Universiti Songkhlanakharin kampus Pattani (Prince Of Songkla University) selama 4 tahun (2001-2004) Kini, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Program Pengajian Asean, School Of Liberal Arts, Universiti Walailak Nakhon si thammarat, Thailand. 

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang akademik, Abdul Razak telah menghasilkan puluhan esei, giat membentang kertas kerja di pelbagai platform. Selain menulis bahan-bahan akademik, beliau juga aktif dalam penulisan kreatif. Karya kreatif terbaru beliau ialah Pantai Ini Lautnya Dalam, iaitu sebuah kumpulan cerpen dan puisi, telah diterbitkan oleh ITBM (2014). Di samping itu, beliau juga bergiat aktif dalam bidang penterjemahan. Beliau pernah menjadi salah seorang penterjemah untuk buku Suara Sutera: kumpulan cerpen terpilih Malaysia- Thailand (DBP:2001).Beberapa buah karya cerpen dan Novel Melayu telah diterjemahkan ke Bahasa Thai dan berjaya di terbitkan di Thailand. Misalnya, novelette TIVI karya Shahnon Ahmad, cerpen - cerpen S.M. Zakir dan sebagainya. Dan yang terbaru, beliau terlibat sebagai penterjemah dan penyelenggara untuk dua buah buku, iaitu Antologi Cerpen Malaysia-Thai, dan Antologi Puisi Malaysia-Thai. Kedua- duanya diterbitkan oleh ITBM (2016)

 

Gina Yap Lai Yoong

Gina Yap Lai Yoong ialah seorang penulis yang telah menerbitkan 5 buah novel melayu iaitu Eksperimen Cinta, Ngeri, Mangsa, Serangkai Hidup dan Obsesi yang mana kesemua buku tersebut boleh didapati di kedai-kedai buku utama di Malaysia dan juga stor aplikasi Google Play. Buku terbaru beliau yang berjudul A Writer's Journey ialah sebuah novel separa memoir dan menjadi panduan penulisan untuk para penulis di Malaysia. Buku-buku terlaris beliau ialah Ngeri dan Mangsa telah dicetak berulang kali sejak diterbitkan. Pada ketika ini, beliau sedang mengusahakan dua lagi manuskrip baru. 

Kadang kala, Gina Yap akan menghadiri pesta buku dan majlis literari untuk bertemu dengan para penulis dan juga pembaca. Beliau gembira berkongsi pengalaman dan perjalanan beliau sebagai seorang penulis dengan mereka yang berminat untuk menjadi penulis bagi membantu mereka untuk memulakan karier sebagai penulis. Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau telah meluangkan masa dengan beberapa bakal penulis dan memberi bimbingan serta kata-kata semangat kepada mereka untuk menulis buku yang sentiasa diingini oleh mereka. Minat beliau dalam bidang penulisan tersebar kepada individu-individu lain. 

Pada tahun 2012, perjalanan beliau sebagai seorang penulis telah disertakan dalam sebuah pameran seni bertajuk "Trails of Light" bersempena dengan Festival Georgetown di Pulau Pinang. Gina juga merupakan salah seorang daripada sepuluh orang penulis muda yang terpilih dan dihantar ke Kota London untuk satu ekspedisi penulisan pada tahun 2003.

Walaupun beliau seorang yang pemalu apabila berhadapan dengan kamera, Gina tetap pernah menjadi tetamu undangan untuk pelbagai rancangan pagi di saluran televisyen tempatan di mana beliau berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang penulis dan bercerita mengenai penulisan novel. Beliau juga merupakan salah seorang daripada panel untuk forum yang bertajuk "New Malay Literature: The Changing Face of The Malay Author" semasa Festival Cooler Lumpur 2013. Terkini, beliau baru sahaja di pilih sebagai Presiden Persatuan Penulis Malaysia bagi sesi 2016-2018. 

 Pengerusi Panel : Hafizah Iszahanid 

Hafizah Iszahanid berasal dari Chemor, Perak. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Seni Gunaandari Universiti Malaysia Sarawak. Pembabitan beliau dalam penulisan bermula sejak belasan tahun dan beliau juga pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994. Hafizah Iszahanid juga pernah mewakili Malaysia untuk mengikuti bengkel Mastera (Novel) pada tahun 2011 di Bogor, Indonesia. 

Beliau telah menghasilkan beberapa buah novel, antaranya ialah Noktah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012) dan Lelaki Januari (2014). Selain menghasilkan novel, beliau turut aktif menulis cerpen dan antara judul buku yang memuatkan cerpen-cerpen beliau ialah antologi cerpen Ayam Patah Kepak (2013) dan kumpulan cerpen Perempuan Berambut Merah (2015)

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang penulisan, Hafizah Iszahanid telah menerima pelbagai anugerah antaranya Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1993 dan 1995, Hadiah Karyanet 2004, Hadiah Sastera Berunsur Islam 2005 dan 2011 dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009, 2011 dan 2013. Selain itu, beliau juga menerima Sayembara Penulisan ITBM - BH 2015, Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2014 dan 2016. 

 Hilal Asyraf  

Hilal Asyraf atau nama penuhnya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak merupakan seorang penulis muda tempatan yang giat menulis karya-karya yang berunsurkan Islamik. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah (1995 - 2001) sebelum menyambung pelajaran ke Ma'had  At-Tarbiah Al-Islamiyyah (2002-2008). Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Kini, beliau bekerja sepenuh masa sebagai penulis, dan telah menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Hilal Asyraf Resources, sebagai usaha menerbitkan sendiri karya-karya yang ditulis. Beliau juga turut mengasaskan web LangitIlahi.com pada pertengahan 2007 dan kini bersama LangitIlahi menganjurkan program-program berbentuk seminar umum di sekitar Lembah Klang sejak 2013.

Beliau mula melibatkan diri dalam dunia penulisan sewaktu mengarang di blogspot pada pertengahan tahun 2007, dan mula menerbitkan karya pertama pada bulan April 2009 dan sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih 35 buah buku yang melibatkan pelbagai genre seperti novel, buku motivasi, kumpulan cerpen dan juga kumpulan puisi. Buku-buku yang dikarang antaranya Buku Motivasi Bata-Bata Kehidupan, Buku Motivasi Sebelum Aku Bernikah: Berusaha Mencapai Mampu, Buku Motivasi Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna, Buku Motivasi Bahtera Menuju Ke Syurga: Irkam Ma'ana, Novel Pemburu, Novel Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru, Novel Surihati Encik Pembunuh, Kumpulan Cerpen Matahari dan banyak lagi. 

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Johan Kategori Kanak-kanak Hadiah Sastera Johor 2011, Top 5 Winners Best Malay Non-Fiction pada Majlis Anugerah MPH Best of 2013 dan juga tempat ketiga Anugerah Pilihan Pembaca 2014 anjuran POPULAR - Berita Harian.

 

 Saharil Hasrin Sanin 

Saharil Hasrin Sanin ialah seorang penulis, ilustrator, dan visual artist yang berasal dari Pontian, Johor dan kini bergiat di Kuala Lumpur. Beliau merupakan lulusan Kejuruteraan Industri dari United Kingdom. Penglibatan beliau dalam bidang penulisan bermula sewaktu berada di Sekolah Alam Shah Putrajaya (ketika itu bertempat di Cheras). Karya fiksyen pertama beliau bertajuk "Kesumat Waris Terakhir" telah diterbitkan oleh majalah Dewan Siswa pada tahun 1991. Tahun berikutnya, beliau telah menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 

Sepanjang tahun-tahun 1999-2000, karya-karya fiksyen,esei dan tulisan pojok beliau banyak diterbitkan dalam akhbar dan majalah seperti Berita Harian/Berita Minggu, Utusan Online (Utusan & Mingguan Malaysia), majalah Siasah, majalah Dewan Bahasa, Majalah Perempuan, URTV dan lain-lain penerbitan. Beliau juga turut menulis untuk ruang pojok 'Dari Mata Lelaki' serta ruang travelog 'Kembara' untuk majalah In-Trend terbitan anak syarikat Astro. Beliau juga menulis artikel berkala berbentuk saintifik untuk majalah-majalah Dewan Kosmik (ruangan 'Sains & Kehidupan ') dan Dewan Siswa (ruangan Misteri dalam Sains) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada tahun 2001, beliau telah menerbitkan antologi "Lagi Cerpen-Cerpen Underground"(LCCU) bersama Faisal Tehrani dan diselenggarakan oleh Razaly Nordin, antara buku Indie pertama yang diterbitkan di Malaysia. Cerpen-cerpen beliau di dalam Lagi Cerpen-Cerpen Underground (LCCU) kemudiannya, di terbitkan semula bersama lebih 20 buah koleksi cerpen-cerpen lain pada tahun 2016 oleh Dubook Press dengan tajuk "Cerpen- Cepern Undergraound" Selain itu, beliau turut menghasilkan buku-buku yang berjudul seperti "Kentang", "Tentang", "Dentang" dan banyak lagi. 

Sepanjang kariernya, beliau telah menerima pelbagai anugerah antaranya, Selangor Young Talents Awards, Hadiah Sastera Darul Ta'zim dan juga Hadiah Sastera Berunsur Islam.   

 

Dr. Fahd Razy 

Dr. Fahd Razy atau nama penuh beliau ialah Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy merupakan seorang pegawai perubatan yang berkhidmat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Beliau merupakan alumni Minggu Penulis Remaja  2000 dan juga pengasas Grup Karyawan Luar negara. Selain itu, beliau juga merupakan pengarah dan pengasas Penerbitan Kata - Pilar. Beliau aktif dalam menghasilkan penulisan dari pelbagai genre. Beberapa buah buku beliau yang ditulis bersama-sama dengan rakan penulis lain juga menjadi bestseller di kedai-kedai buku tempatan antaranya Diagnosis 3: Mortuari, Cakar Ayam Seorang Doktor dan Cakar Ayam Seorang Doktor 2.0.

Beliau turut menghasilkan puisi sehingga beberapa puisi beliau telah dipilih untuk menjadi teks didalam Sastera Elektif SPM  bermula pada tahun 2010 dan juga 2015. Puisi-puisi tersebut ialah puisi 'Al-Andalus Menangis' dan 'Seorang Tua di Kaki Tamadun'. Kumpulan puisi lain antaranya ialah Menggeledah Nurani, Kota Subuh dan Ikan dalam Jiwa. Beliau juga pernah menulis dan mengarahkan teater "Mencari Jalan Pulang" yang dipentaskan di Dublin pada tahun 2005.  

Dr. Fahd Razy juga menghasilkan pelbagai cerpen yang dimuatkan di dalam Kumpulan cerpen 'Pascasejarah' dan juga Kumpulan cerpen remaja: Cinta Menyala di Constantinople.  

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang penulisan, beliau telah menerima pelbagai anuegarah antaranya, Hadiah Sastera Siswa, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Sastera Perdana Malaysia. 

Pengerusi Panel : Zabidi Mohamed 

Zabidi Mohamed adalah seorang penulis skrip drama tv profesional. Beliau turut menjadi tenaga pengajar pada bengkel penulisan skrip anjuran FINAS. Juga merupakan ahli panel akdriditasi Creative Content Industrial Guild Of Malaysia (CCIG). Sebelum menjadi penulis skrip sepenuh masa beliau adalah seorang bekas Majistret dan peguam. Beliau Telah berkecimpung dalam dunia penulisan skrip selama 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau telah menerima beberapa pencapaian. Antaranya drama 'Hani' (TV3) telah dicalonkan ke peringkat Antarabangsa pada Asia Pasific TV Awards (2011) di Singapura untuk kategori Best Serial Drama. 

Anugerah Skrip Drama Berunsur Islam Terbaik pada Anugerah Media Islam Negara (AMIN) pada 2008 & 2009 melalui telemovie Mencari Nur Khadijah (RTM) dan Ihsan (TV3). Juga Anugerah Khas Juri pada anugerah sama 2009 melalui telemovie Kaligrafi Cinta (RTM). Selain penulisan skrip, Zabidi Mohamed juga banyak menghasilkan buku. Antaranya 'Arqam-Tersungkur Di Pintu Syurga' (1998), 'Maunah-Kebenaran Yang Sebenar' (2003), 'Catatan Penglipur Lara Sang Majistret' (2012), Novel 'Hani' (2012) dan novel 'Sungguh Aku Bersyukur' (2016). 

 Ramlee Awang Murshid 

Ramlee Awang Murshid dilahirkan pada 4 November 1967 di Papar, Sabah. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kapayan, Kota Kinabalu sebelum menyambung pengajiannya di Kolej Sabah. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ramlee Awang Murshid pernah berkhidmat sebagai wartawan RTM selama lebih 20 tahun bermula 1986. Tugasan kewartawanan ada kalanya membawa Ramlee Awang Murshid menjelajah ke pelbagai negara dan menjadi penyumbang besar terhadap karya-karyanya. Sebahagian hasil tulisannya yang berlatarkan negara luar seperti Jepun adalah diinspirasikan daripada pengalamannya.

Dalam bidang penulisan, beliau terkenal sebagai penulis novel thriller kerana kerap mempertaruhkan elemen seram dan thriller dalam karyanya. Beliau juga sudah empat kali memenangi sayembara penulisan antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002. Beliau menyifatkan kejayaan Pei Pan, kenangan paling manis kerana beliau merupakan penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah tersebut. 

Ramlee Awang Murshid telah menghasilkan lebih 20 buah novel antaranya, Satu Janji, Adam, Semangat Hutan, Tombiruo, Rahsia Perindu, Hatiku DiHarajuku, Mikhail, Penunggu Rimba dan novel terbaru beliau ialah Anding Ayangan. Novel Bagaikan Puteri pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan beliau teruja untuk menyambung novel terbabit sehingga lahirnya trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta. 

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia penulisan, beliau telah meraih pelbagai anugerah. Ramlee Awang Murshid pernah menerima anugerah tempat kedua untuk novel Igauan Maut (1995) dalam pertandingan Menulis Novel Dewasa, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Seterusnya, beliau menerima Anugerah Sastera Negeri Sabah 2006/2007 menerusi novel Bagaikan Puteri. Beliau juga menerima  Anugerah Buku Negara 2012 (Kategori Novel Remaja) menerusi novel 9 Nyawa. 

Trinity 

Trinity merupakan seorang penulis buku pengembaraan yang sedang menempa nama di Indonesia. 'The Naked Traveler' merupakan buku paling laris yang dihasilkan oleh beliau selain 13 buah buku yang lain. Buku  tersebut juga telah diadaptasi menjadi sebuah filem berjudul 'The Nekad Traveler, yang telah di tayangkan di pawagam  bermula 16 Mac 2017. Pada tahun 2005, beliau memulakan sebuah blog pengembaraan iaitu naked.traveler.com dan blog tersebut menjadi blog pengembaraan yang pertama di Indonesia. dalam masa kurang dua tahun, blog tersebut telah menjadi finalis Anugera Blog Terbaik Indonesia dan sejak itu, buku-buku beliau mula diterbitkan. Beliau menukar kerjaya beliau menjadi pengembara sepenuh masa di samping menjadi penulis bebas. Sebelum ini, beliau merupakan seorang penterjemah Bahasa Inggeris- Bahasa Indonesia, penulis iklan, ketua editor Majalah Travel Venture, kolumnis majalah pengembaraan Jalan Jalan dan juga pengacara TV di MNC Food & Travel. 

Karya debut beliau, The Naked Traveler merupakan kompilasi cerpen mengenai pengembaraan beliau di serata dunia yang membuatkan pembaca berfikir secara mendalam tetapi masih menghiburkan. Buku tersebut telah memberi inspirasi kepada rakyat Indonesia terutamanya golongan muda untuk keluar mengembara untuk melihat dunia. Siri The Naked Traveler kini mempunyai 7 judul dan kesemuanya merupakan buku pengembaraan terlaris di Indonesia termasuklah judul terbaru iaitu The Naked Traveler:1 year Round the World Trip (part#1 & part#2) dan juga The Naked Traveler 7. 

Perjalanan hidup beliau telah memberi inspirasi kepada orang ramai dan kini, beliau juga sering menjadi ahli panel bagi aktiviti yang melibatkan penulisan blog, penulisan kreatif, pelancongan dan memberi semangat. Beliau merupakan penulis yang mengambil bahagian dalam Festival Sastera terbesar Indonesia Ubud Writers & Readers Festival dan Makassar International Writers Festival. 

Cinta Trinity terhadap penulisan bermula sejak berumur 6 tahun di mana beliau sering menjadi kolumnis untuk majalah sekolah sejak dari sekolah rendah sehingga ke zaman universiti. Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Diponegiro, Semarang, Indonesia dan telah dianugerahkan biasiswa Jepun- Bank Pembangunan Asia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan di Asian Institute of Management di Manila, Filipina. 

Trinity pernah memenangi Anugerah Travel & Tourism Indonesia sebagai penulis Indonesia yang sedang meningkat naik pada tahu 2010. Beliau turut menjadi pilihan pembaca sebagai salah seorang daripada 5 individu penting dalam industri pelancongan Indonesia oleh detikTravel pada tahun 2014.